Pada pendapat saya, sistem pendidikan yang berkualiti mampu menghasilkan modal insan yang berwibawa dan berminda kelas pertama. Sistem pendidikan kini harus berupaya melahirkan pelajar yang dapat ‘berfikir di luar kotak’ supaya mereka lebih kreatif dan inovatif.
Justeru, Program Lonjakan Perdana Pendidikan Luar Bandar yang dilaksanakan untuk mencapai kesamarataan dan peluang pendidikan terbaik antara bandar dengan luar bandar adalah amat sesuai dan perlu dilaksanakan secara kolektif dan bersinergi antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri.
Pendidikan merupakan satu pelaburan jangka masa panjang yang penting untuk negara. Dalam hal ini, pelaburan tersebut bukan sahaja perlu dilakukan oleh pihak kerajaan semata-mata dalam menyediakan perkhidmatan pendidikan kepada rakyat, tetapi juga perlu diusahakan oleh pihak ibu bapa setiap murid di negara ini.
Ibu bapa tidak harus meletakkan tanggungjawab mendidik anak-anak dalam tangan guru-guru di sekolah semata-mata. Ibu bapa perlu ikut serta dalam pendidikan, khususnya pendidikan di rumah. Kejayaan anak-anak bergantung kepada usaha kolaboratif antara pihak sekolah dengan kalangan ibu bapa itu sendiri. Tegasnya di sini, ibu bapa perlu sanggup berkorban dan terlibat sepenuhnya dalam memastikan kecemerlangan pendidikan anak-anak mereka.
No comments:
Post a Comment